Makanan Tradisional
Assalamualaikum w.b.t. In sha allah pada entri kali ini saya akan berkongsi makanan tradisional kegemaran saya sehingga kini. Seperti yang kita ketahui, setiap wilayah tradisional Melayu mempunyai makanan tradisional yang tersendiri. Sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu terkenal dengan Nasi Dagang, Nasi Kerabu dan Keropok Lekor, Johor dengan Mi Bandung, Melaka dengan Asam Laksa, Pahang dan Perak dengan Gulai Tempoyak Ikan Patin, Kedah dengan Gulai Nangka dan Penang dengan Laksa dan Pasembur.
Ciri utama masakan tradisional Melayu ialah penggunaan rempah ratus yang banyak, serta santan yang penting untuk menghasilkan makanan berlemak dan pekat. Perasa seperti belacan dan budu adalah penting untuk menambah kesedapan makanan. Belacan juga digunakan sebagai bahan asas bersama-sama dengan cili, bawwang dan bawang putih untuk menghasilkan sambal iaitu satu lagi perasa utama dalam hidangan. Masakan Melayu juga banyak menggunakan lengkuas dan serai makan. Oleh sebab orang melayu kebanyakan beragama Islam, masakan Melayu mengikut hukum diet halal Islam secara ketat. Pengambilan protein kebanyakannya diambil dari daging lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik dan ikan.
Jadi, makanan tradisional melayu yang paling saya gemari adalah Nasi Lemak. Nasi Lemak adalah sejenis nasi yang dimasak dalam santan pekat dan merupakan hidangan yang terkenal dan mudah didapati di pekan dan kampung Melayu serta dianggap 'hidangan kebangsaan Malaysia'. Nasi Lemak bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk berbangsa Melayu tetapi juga turut mendapat sambutan dari kalangan penduduk Cina dan India serta pelancong asing. Rasa kesedapan Nasi Lemak yang tersendiri cukup sedap cukup lemak dan santan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makanan.
Bahan-bahan untuk membuat Nasi Lemak juga mudah dapat dan disediakan. Di sini saya sertakan resepi Nasi Lemak yang ibu saya buat kerana ibu saya merupakan penjual Nasi Lemak dan alhamdulillah makanan tradisional ini sangat laris dan mendapat sambutan di kalangan penduduk. Rata-rata memberi komen yang positif dan hal ini membuatkan ibu saya lebih bersemangat untuk berniaga Nasi Lemak di rumah. Di samping itu, Nasi Lemak ibu sayalah yang menjadi kegemaran saya sampai sekarang. Antara bahan yang diperlukan untuk membuat Nasi Lemak adalah santan, halia, bawang merah dan daun pandan. Daun Pandan ini amat penting dalam penyediaan kerana ia menambahkan kewangian dalam Nasi Lemak yang menyebabkan pelanggan bertambah selera. Seterusnya, Nasi Lemak lebih enak dihidangkan dengan sambal tumis, kacang tanah goreng, ikan bilis dan telur goreng. Walaupun begitu, terdapat sesetengah rakyat Malaysia yang suka menambah lauk pada Nasi Lemak seperti sambal udang, rendang daging, dan sambal sotong.
Buat penggemar makanan tradisional ini, boleh lah cuba resepi ini. In sha allah rasanya amat berpuas hati dan sudah semestinya anda akan bertambah nasi lagi hihihihihi. Saya halalkan resepi ini buat jualan anda, mana tahu dengan jualan Nasi Lemak dapat mengubah corak hidup awak sekeluarga. Tidak cuba tidak tahu. Sekian sahaja coretan dari saya semoga kita bertemu kembali di entri yang akan datang.

Ulasan
Catat Ulasan