Pengalaman di kolej
Setiap orang pasti mempunyai pengalaman masing-masing sewaktu awal-awal mula bergelar pelajar universiti kan? Begitu juga dengan saya yang merupakan salah seorang pelajar universiti di Universiti Puta Malaysia. Terasa kelakar dan lucu pula apabila teringat kembali memori-memori tersebut. Saya percaya bahawa rata-rata pelajar 'freshie' pasti pernah mengalami situasi yang pernah saya lalui antaranya ialah orientasi, pilih katil, berkenalan dengan rakan sebilik, sesat sewaktu hari mula kuliah.
Saya ingat lagi sewaktu mula-mula saya dipilih untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UPM. Jujur dari hati, saya berasa sangat gembira kerana impian saya untuk menyambung pengajian di universiti tercapai. Hal ini kerana sewaktu mengambil keputusan SPM dulu, gred SPM saya tidak berapa bagus. Ibu bapa saya terlalu berharap pada saya namun akhirnya hanya itu sahaja yang mampu saya beri kepada mereka. Saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka berasa sangat kesal namun mereka tetap percaya terhadap ketentuan Allah. Jujur aku pun sedih dengan keputusan aku kerana apa yang aku target tidak dicapai. Aku berasa aku sudah tidak mampu lagi untuk menyambung pelajaran ke universiti dengan gred yang tidak seberapa ini. Namun perancangan Allah itu luas. Berkat doa ibu bapa aku, aku terpilih untuk menyambung tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Al-Mashoor Penang. Sepanjang tingkatan enam ini lah, aku berusaha bersungguh sungguh untuk mencapai keputusan yang baik sepanjang tiga sem. Dan alhamdulillah aku memperoleh pointer yang agak tinggi. Ini semua berkat tunjuk ajar para guru, rakan-rakan yang tidak kedekut untuk berkongsi serta yang paling penting doa ibu dan ayah aku.
Dengan gred yang aku perolehi melayakkan aku untuk menyambung pelajaran di universiti. Di sinilah segala-galanya mula tercipta. Aku ingat lagi sewaktu hari pendaftaran, ibu dan ayahku yang jauh dari penang menghantar aku menyelesaikan segala proses pada hari pertama. Mereka banyak menolong aku mengangkat barang ke bilik serta membawa aku makan. Ketika tiba saat ingin menghantar ayah dan ibuku ke kereta, tiba-tiba mata aku bergenang dengan air mata. Jujur aku cakap inilah kali pertama aku tinggal berjauhan dengan ibu bapa serta seluruh keluarga. Bukannya aku tidak mempunyai pengalaman tinggal di asrama, sebelum ini dari tingkatan satu lagi aku sudah dididik untuk tinggal di asrama. Kalau minggu tidak balik pun, ibu dan ayahku tetap datang membawa makanan kepada aku. Tetapi kali ini berbeza kerana aku tinggal di asrama yang sangat berjauhan dari rumah aku iaitu di Penang. Tetapi demi impian aku serta impian mak dan ayahku yang ingin melihat anak-anaknya belajar di universiti, aku tetap gagahkan jua kuatkan semangat aku. Jujur aku cakap sepanjang minggu pertama aku di sana, hampir tiap malam aku menangis apabila merenung gambar mak dan ayahku kerana aku terlalu merindukan mereka. Dan setiap hari aku tidak pernah lupa untuk menelefon mereka. Ambil masa juga untuk aku menyesuaikan diri aku dengan suasana di universiti ini. Alhamdulillah aku bersyukur kerana dikurniakan rakan sebilik yang baik belaka. Pada hari pertama, kami memperkenalkan diri masing-masing, dan baru aku tahu rakan sebilik aku semuanya dari negeri yang berbeza iaitu sorang dari Selangor, sorang dari Johor, dan sorang lagi dari Pahang. Hampir ke mana-mana, aku bersama mereka. Hal ini kerana aku tidak mempunyai rakan lain yang aku kenal sewaktu mula mendaftar di universiti ini.
Kemudian, sepanjang minggu pertama, aktiviti kami sangat padat dengan orientasi dari awal pagi sampai lah ke malam. Jujur dari sudut hati, aku berasa sangat penat dengan minggu orientasi, hanya mampu berharap ianya berakhir dengan cepat. Namun, aku tidak sedar, dengan adanya orientasi sebeginilah aku dapat berkenalan dengan ramai orang dan dari sinilah aku mempunyai ramai kawan yang terdiri dari pelbagai negeri. Aku ingat lagi setelah minggu orientasi, malam itu aku demam panas. Aku menelefon ibu aku sambil menangis mengatakan bahawa aku mahu pulang. Aku tersangat rindukan mereka sampai demam tau. Ibu aku melarang aku balik kerana risau keselamatan aku yang ingin pulang seorang diri naik bas lagipun aku tidak sihat. Aku hanya mampu mendengar nasihat ibu aku sahaja.
Pada hari pertama, tipulah kalau setiap orang tidak mempunyai pengalaman sesat untuk masuk ke kelas. Begitu juga dengan aku. Aku pergi ke kelas awal pagi kerana takut lewat masuk kelas nanti pensyarah akan marah, namun aku tetap tidak jumpa bilik kuliah aku. Hampir semua tempat aku berpusing mencari bilik kuliah itu. Walaupun time orientasi kami sudah berjalan keliling fakulti, namun aku sangat sukar untuk menghafal jalan. Nasib baiklah aku berjumpa dengan senior yang sedak duduk berbual di pondok. Aku hanya mereka bilik kuliah tersebut dan mereka menunjuk ke arah yang betul. Aku berasa sangat lega apabila jumpa bilik kuliah tersebut dan masuk tepat sebelum kelas bermula. Ramai pelajar yang sesat dan sukar untuk berjumpa bilik kuliah masing-masing kerana seperti yang kita tahu universiti tersangatlah luas dan mengambil masa beberapa hari untuk kita membiasakan diri di kawasan universiti.
Alhamdulillah sedar tidak sedar dekat sebulan jugak lah aku tidak pulang ke kampung halaman. Walaupun rindu yang sarat terhadap ibu ayah dan keluarga namun lama kelamaan aku boleh urus sendiri emosi aku dan tidak terlalu melayani perasaan ini sangat. Hal ini kerana aku juga mempunyai ramai kawan yang selalu menemani aku ke mana sahaja. Kalau hendak pergi beli makanan, mereka pasti mengajak aku bersama. Hampir setiap petang, aku dan rakan-rakan sering beriadah dan bersiar-siar di bukit ekspo. Selain itu, kami juga ada berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu. Aku bersyukur dikurniakan rakan-rakan yang baik seperti mereka. Sekarang aku sudah berada di semester empat. Terasa cepat sangat masa berlalu. Tinggal berbaki beberapa sem sahaja lagi aku di sini. Semoga aku dapat mencipta banyak lagi kenangan manis sepanjang aku belajar di universiti. Sekian coretan aku pada kali ini....


Ulasan
Catat Ulasan