Seni dan Budaya
Seni dan budaya merupakan dua entiti yang saling berkait rapat dan bergantungan antara satu sama lain. Seni dan kebudayaan amat berkait rapat dengan identiti, ideologi dan amalan seharian sesebuah kelompok masyarakat. Di seluruh dunia, setiap masyarakat mempunyai identiti seni dan kebudayaannya yang tersendiri lantas membentuk keunikan cara hidup. Tidak terkecuali di negara Malaysia, di mana rakyatnya berbilang kaum dan keturunan sudah pasti mempunyai kepelbagaian aspek seni dan kebudayaan juga. Sifat kepelbagaian budaya dari sudut sejarah etnik yang meninjau asal usul keturunan dan latar belakang sejarah setiap etnik dari segi cara hidup, sosio budaya, asal usul, agama dan kegiatan ekonomi turut mencorak aspek seni dan budaya. Perkara ini menjadi sebahagian cara hidup dan pegang sejak zaman berzaman lagi dan diteruskan sehingga sekarang.
Perkataan seni dapat ditakrifkan sebagai sesuatu yang halus, kecil, elok, tipis, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan. Sesuatu yang dikatakan seni adalah suatu bentuk karya seperti pantun, ukiran, muzik dan lain-lain lagi. Perkataan kesenian membawa pengertian yang lebih luas lagi iaitu perihal seni, yang berkaitan dengan keindahan dan ketelitian penciptaan sesebuah karya seni tersebut. Kesenian telah menjadi identiti dan amalan yang amat penting kepada kebudayaan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa sejak turun temurun lagi. Manakala pengertian kebudayaan yang bersabit dengan akal dan budi ini lebih menjurus kepada perkongsian bersama barangan, ilmu dan kepercayaan sebuah kumpulan manusia atau masyarakat. Konsep ini juga berkait rapat dengan bidang seni, sastera dan muzik klasik serta merangkumi aspek-aspek kehidupan lain dalam masyarakat kita. Kepelbagaian budaya ini lebih merujuk kepada kepelbagaian adat dan budaya sesebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum.
Bidang seni dan kebudayaan mempunyai tujuan tertentu. Sudah tentu kepentingan kedua-dua bidang ini memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. Selain menjadi simbol perpaduan dan sosiolasi, seni dan kebudayaan juga merupakan aktiviti pada waktu kesenggangan dan rekreasi yang amat penting dalam kalangan masyarakat kita. Bagi aktiviti kesenian dan kebudayaan yang berkait rapat dengan agama, seluruh penduduk dan kampung terbabit dalam aktiviti berkenaan. Dari sudut agama, hukumnya adalah wajib. Aktiviti-aktiviti seperti nasyid, marhaban dan hadrah merupakan aktiviti kesenian Islam yang berkait rapat dengan amalan keagamaan. Melalui aktiviti kesenian sebegini, pemupukan amalan keagamaan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi keinsafan sebagai seorang Islam. Hal ini dapat mendidik ahli masyarakat supaya akur dengan perintah agama dan mengerjakan perkara-perkara yang wajib dan sunat.
Penglibatan masyarakat dalam aktiviti seni dan kebudayaan dapat meningkatkan kecergasan fizikal. Hal ini dapat dibuktikan melalui aktiviti yang dilakukan iaitu permainan tradisional yang melibatkan banyak pergerakan yang ringkas tetapi mampu memberikan impak senaman yang ringan yang sesuai untuk dilakukan setiap hari. Melalui aktiviti seni dan kebudayaan di Malaysia berbentuk seni suara, seni gerak, seni rupa dan permainan tradisional masyarakat dapat bergerak aktif dan menggunakan tulang empat kerat sepenuhnya. Pergerakan yang berlaku secara optimum ini bukan sahaja sebagai latihan fizikal tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan dan dianggap sebagai satu senaman.
Sebagai rumusan dapatlah disimpulkan bahawa aspek seni dan kebudayaan amat penting kepada masyarakat di negara ini. Perbezaan seni dan kebudayaan bukanlah merupakan halangan satu bentuk perhubungan dan komunikasi yang mantap sebaliknya menjadi sumber kekayaan kepada nilai seni dan budaya masyarakat kita di mata di dunia. Sifat multikultural yang dimiliki oleh masyarakat di negara ini menjadi aset penting dalam memperkayakan khazanah seni dan budaya malah turut menjadi daya tarikan pelancong luar. Keadaan ini telah memberi impak positif ke atas ekonomi negara pada masa kini. Sekian sahaja coretan saya pada entri kali ini. Saya akhiri kata-kata dengan serangkap pantun,
Menabur jasa tidak dipinta
Untuk membela kedudukan diraja
Berbudi bahasa amalan kita
Walau berada di mana jua

Ulasan
Catat Ulasan