Pakaian Tradisional

   Pakaian Malaysia adalah pakaian tradisional yang dipakai oleh tiga budaya utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap budaya mempunyai tatacara pemakaian tradisional yang dipengaruhi agama dan boleh disesuaikan dengan pengaruh dan keadaan tempatan. Seperti yang kita ketahui orang Melayu terkenal dengan pakaian tradisional baju kurung dan baju Melayu manakala orang Cina terkenal dengan Cheongsamnya dan India dikenali dengan pakaian sarinya. 

    Kaum Melayu terkenal dengan pemakaian baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung bagi wanita. Sesiapa sahaja yang terlihat memakai baju kurung pasti akan kelihatan manis dan sopan kerana dari segi pemakaiannya yang labuh dan menutup seluruh badan. Di sini saya akan menceritakan serba sedikit asal usul baju kurung. Baju kurung dikatakan berasal dari negeri Johor. Menurut sejarah kewujudan pakaian ini, baju kurung dikatakan wujud dua ratus tahun yang lampau. Baju kurung dikatakan hasil kreatif Sultan Abu Bakar iaitu Sultan Johor pada tahun 1866. Selain itu, ada juga cerita yang mengatakan bahawa baju kurung telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Baju kurung dikenakan oleh wanita-wanita di Melaka pada ketika itu. 

    
    Pada era masa kini yang semakin berkembang maju dan canggih, baju kurung telah ditransformasi menjadi lebih cantik dan anggun dengan penambahan dari segi perhiasannya seperti manik dan sulam. Kebanyakan baju kurung diperbuat daripada kain sutera yang halus dan lembut. Selain itu, berbagai motif warna juga digunakan bagi membuat corak pada pakaian baju kurung. Di samping itu, terdapat warna-warna pastel yang menambahkan lagi kecantikan pada kurung tersebut dan menyebabkan para wanita rambang mata untuk membelinya. 

       Baju kurung kini dijadikan sebagai pakaian rasmi kerajaan Malaysia yang dipakai oleh kakitangan di jabatan-jabatan kerajaan dan juga kakitangan swasta. Kelihatan semua etnik tidak kira bangsa Melayu, Cina dan India mengenakan baju kurung walau di mana sahaja berada. Hal ini mengeratkan lagi hubungan antara kaum dan melambangkan identiti kebangsaan Malaysia. 


    Namun, remaja masa kini lebih gemar memakai blouse dan tshirt daripada baju kurung. Hal ini dapat dilihat di Universiti. Kebanyakan pelajar pergi ke kuliah dengan hanya memakai boluse dan tshirt sahaja kerana mereka mengatakan pakaian ini lebih muda dicapai tanpa perlu diseterika dan senang untuk bergerak ke mana-mana. Tidak ada salahnya untuk memakai pakaian blouse tetapi kekurangan pelajar dalam memakai baju kurung menyebabkan identiti pakaian tradisional Melayu semakin terhakis dari semasa ke semasa. Saya akhiri kata-kata saya dengan serangkap pantun,

Anak itik dalam reban
Anak ayam lupa di kurung
Fesyen sekarang suka berkemban 
Mana nak pandang si baju kurung.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengalaman sepanjang PKP Covid-19

Tokoh motivasi

Kritikan tentang drama