Pengalaman di kampung :)
Sebaik sahaja jendela rumah kayu dibuka, kelihatan seluas-luasnya pemandangan padi menguning yang hanya menunggu masa yang sesuai untuk dituai. Kelihatan juga burung-burung bertebangan bebas saling berkicauan dan ayam yang berkokok mengejutkan manusia daripada lena yang panjang. Terasa damai apabila tinggal di kampung kerana jauh berbeza dengan suasana di bandar. Hal ini kerana suasana di bandar pada awal pagi jalan sudah sesak dengan kereta serta bunyi hon yang membingitkan telinga. Apabila tinggal di kampung, terasa sangat tenang dan nyaman sambil menghirup udara pagi yang segar.
Beginilah perasaan yang aku alami sewaktu aku tinggal di rumah nenek yang terletak di Kampung Sg Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Di lokasi inilah turut menawarkan pengalaman percutian ala kampung bagi mereka yang ingin bercuti di sini. Difahamkan di kawasan kampung ini terdapat kira-kira 20 rumah inap desa milik penduduk kampung kepada sesiapa sahaja yang ingin bercuti di sini. Keluarga angkat pula terdiri daripada masyarakat setempat yang sudi menjadikan pelancong sebagai ahli keluarga mereka sepanjang tempoh percutian.
Kampung nenek terkenal di area kawasan Selangor kerana terdapat sawah padi yang cantik, keselesaan tempat tinggal, serta terdapat juga pelbagai permainan tradisional di kampung. Hal inilah yang menjadikan saya lebih gemar tinggal di kampung ketika cuti sekolah. Memandangkan terdapat pelbagai aktiviti pertanian di kawasan berkenaan, aku dapat merasa sendiri pengalaman menjadi petani dengan melakukan aktiviti seperti menuai dan menanam padi. Dan di kampung, aku mempunyai pengalaman menangkap ikan yang hidup liar di kawasan bendang, dan aktiviti ini aku lakukan bersama sepupu aku. Kami berasa sangat tercabar apabila hendak menangkap ikan yang pantas melarikan diri kerana kami tidak mempunyai pengalaman dalam aktiviti seperti ini. Tetapi, aktiviti ini sangat seronok di samping membuatkan kami merasa suasana pekerja ketika bekerja di bendang. Aktiviti sebegini yang menarik pelancong luar untuk datang ke kampung ini bagi merasai sendiri suasana ketika tinggal di kampung.
Dan uniknya di kampung ini, kebanyakan penduduknya bersatu untuk menyediakan pelbagai produk yan keratif yang dijualkan kepada para pelancong sebagai kenangan sewaktu bercuti di sini. Lebih menarik penduduk di sini amat mesra. Banyak juga soalan yang aku tanya kepada penduduk kampung berkaitan suasana tinggal di kampung, dan mereka tidak lokek menjawabkan soalan yang diajukan malah rancak menceritakan pelbagai tarikan lain yang terdapat di kawasan kampung mereka.
Sememangnya berada di kawasan Kampung Sungai Hj Dorani memberi pelbagai pengalaman percutian yang mendamaikan dan menjanjikan aktiviti kampung yang menarik. Disebabkan itu, tidak mustahil mengapa kampung ini sering menjadi antara lokasi yang wajib dilawati pelancong luar ketika datang ke Selangor. Apatah lagi pelancong asing yang ingin merasai sendiri pengalaman bergelar masyarakat di Malaysia.


Ulasan
Catat Ulasan