Anak Muda

    Islam amat menitikberatkan tentang usia remaja. Lantaran itu, terdapat banyak kisah yang dirakamkan di dalam Al-Quran untuk menggambarkan tentang usia muda sangat berharga dalam pembinaan khaira ummah. Di antara kisah tang termasyhur ialah Ashabul Kahfi yang ditampilkan dalam surah al-Kahfi dalam ayat 13 yang bermaksud, "Kami ceritakan kepada kamu wahai Muhammad perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk."

    Menerusi ayat tersebut, Allah telah menggambarkan kepada kita tentang kewujudan generasi muda yang beriman kepada Allah dan berjuang untuk mempertahankan akidah mereka. Ekoran daripada kemantapan iman tersebut, Allah telah menambahkan kepada mereka petunjuk atau jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapi. Mereka berjaya menyembunyikan diri dalam gua, bagi mengelakkan ancaman daripada penguasa yang zalim pada waktu itu. Itulah secebis kisah generasi muda yang cekal berani sehinggakan Allah telah merakamkannya dalam Al-Quran sebagai renungan buat generasi masa kini.

    Begitu juga apabila kita meninjau tentang sirah Rasulullah SAW yang sangat rapat dengan generasi muda. Baginda amat berkeyakinan kepada golongan muda, bakal memimpin zaman, justeru itulah, Baginda telah melantik Usamah bin Zaid yang baru berusia 18 tahun ketika itu, untuk memipin angkatan tentera sewaktu dakwah ke wailayah-wilayah Islam di Romawi.

    Dari sudut galakan beribadah pula, Baginda telah menyatakan terdapat dalam kalangan pemuda yang dijanjikan lindungan Allah sewaktu berada di padang mahsyar. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadis tentang 7 golongan yang akan diberikan naungan oleh Allah, salah satu daripadanya ialah pemuda yang membesar dengan sentiasa beribadah kepada Allah. 

    Berdasarkan kisah Al-Quran dan Hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa Islam amat mengambil berat tentang pembentukan jati diri generasi muda. Ini adalah kerana mereka bakal menjadi pemimpin masyarakat suatu hari nanti. Namun begitu, berbeza dengan situasi generasi muda pada masa kini. Ramai dalam kalangan mereka meminggirkan aspek masa depan dan hala tuju kehidupan. Oleh itu, generasi muda perlu diberi pendedahan kepada nilai-nilai murni menerusit ingkah laku golongan dewasa. Golongan dewasa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak muda sebagai contoh golongan dewasa perlu berhenti merokok sekiranya mahu melihat anak-anak muda bebas daripada ketagihan merokok. Yakinlah apa yang kita semai dan siram pada hari ini, hasilnya akan dinikmati pada masa akan datang.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengalaman sepanjang PKP Covid-19

Tokoh motivasi

Kritikan tentang drama